Pembubaran MGSS 2015/2016 dan pengumuman pelantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2016/2017

 

meeting

 

 

Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera, Salam Muhibbah dan Salam Satu Malaysia kami ucapkan kepada rakan rakan pelajar Malaysia yang berada di Jerman. Diharapkan rakan rakan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat dan cergas untuk menghadapi hari hari yang mendatang. Dalam tidak sedar, genap setahun Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2015/2016 memegang tampuk pimpinan. 4 musim datang silih berganti, dan kini, tibalah masa untuk rakan - rakan pelajar untuk memilih Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2016/2017.

 

            Kami dari pihak MGSS 2015/2016, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dalam setiap aktiviti MGSS yang telah dianjurkan. Sekalung penghargaan untuk pihak penaja JPA dan MARA yang tidak putus putus memberikan bantuan dari segi nasihat, logistik dan kewangan dalam menjayakan setiap aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak MGSS 2015/2016. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada rakan-rakan pelajar yang telah menyumbangkan tenaga dengan sukarela untuk membantu pihak MGSS dalam memastikan setiap aktiviti berjalan dengan lancar.

 

            Untuk pengetahuan rakan rakan pelajar, tempoh pengundian calon - calon bagi Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2016/2017 telah dibuka sejak Jumaat, 25 Mac 2016.  Pada tahun ini, pihak MGSS 2015/2017 ingin mengubah norma, membuat sedikit pembaharuan dalam membuat pengumuman pelantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2016/2017.

 

            Seperti semua sedia maklum, setiap tahun, pihak MGSS akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bertempat di restoran - restoran tertentu dalam bandar - bandar yang terpilih. Melihat dari segi sambutan pelajar dan kos untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, kami mendapati lebih banyak kontra daripada pro dalam hal ini. Antaranya adalah kesukaran untuk memilih tempat yang sesuai untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, kehadiran delegasi pelajar yang kurang memberangsangkan. Yang terutama adalah Bajet untuk menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan itu sendiri.

 

            Hasil perbincangan, pihak MGSS 2015/2016 sebulat suara memilih untuk menyimpan dana persatuan untuk kegunaan MGSS 2016/2017 . Kami juga telah bersetuju untuk mengumumkan keputusan undian pemilihan calon - calon Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGSS 2016/2017 secara atas talian melalui laman web MGSS. Pihak MGSS 2015/2016 berpendapat bahawa keputusan ini adalah yang terbaik dan membawa maslahat kepada semua pihak.

 

 Bagi melihat barisan kepimpinan yang baru untuk MGSS yang telah diundi oleh kalangan pelajar Jerman sendiri bolehlah ke link di bawah. Bagi barisan kepimpinan yang baru dilantik, tahniah diucapkan. Barisan kepimpinan yang lama akan menghubungi anda dalam masa terdekat bagi memberi maklumat tentang tugas-tugas yang akan diamanahkan kepada setiap ahli tertinggi.

 

Barisan Kepimpinan Baru MGSS 2016/2017

 

Akhir kata, pihak MGSS 2015/2016 menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari rakan - rakan pelajar jika ada kesilapan dari pihak kami yang terlepas pandang dalam aktiviti - aktiviti yang telah kami anjurkan. Segala nasihat dan tunjuk ajar amat kami alu-alukan agar aktiviti - aktiviti MGSS yang mendatang dapat diperbaiki mutu dan kualiti aktiviti.

 

 

“Pohon mangga dalam kebun,

 Berbuah lebat patah dahan,

Salah dan silap minta ampun,

Mana terkurang minta halalkan

 

Gesek biola nama Cik Mamat,

Mari digesek Tanjung Jati,

Doa kami semua selamat,

Ada umur bertemu lagi.”

 

(Kurik Kundi Merah Saga, DBP Malaysia)